Saturday 9 February 2013

The guilt is there

Kau memberiku kerikil-kerikil sederhana saiznya.

"Kerikil ini berguna buat mengisi masa kala menikmati tasik", ujarmu berkali-kali demi cuba merasionalkan pemberian.

Aku memandangmu. Padanya jeda yang lama.

Serasa bingung. Hendak kucapai, tanganku jauh. Tidak kucapai, takut-takut hatimu pula yang menjauh.

Jeda bernoktah.

Pemberianmu kusambut, itupun setelah diregang-regangnya tangan.

Beriringanlah dua batang tubuh itu ke tasik; dengan kerikil digenggam.

Langkahan itu, derap demi derap. Hingga satu detik aku merasakan tak termungkin untuk aku meneruskan.

Tiadalah kau tahu, kerikil pemberianmu itu membagi sakit pada genggaman. Memberatkan tangan pada hayunan. Kerikilmu itu walau saiznya sedikit kecil berbanding besar, tetap tiadalah mampu kugenggam sepenuhnya.

Tanpa tuntas bicara, hadiahmu kupulangkan.

Meneballah rasa bersalahku pada diammu.

Kalaulah kau berjalan dengan kasutku, lihat apa yang aku lihat, dengar apa yang aku dengar, rasa apa yang aku rasa, tentu fahamlah engkau akan kata putusku.

Kuharap adanya belas dalam pandangan matamu. Janganlah dipaksa diriku melakukan apa yang mungkin mudah untuk kau lakukan. Kerana ianya mungkin sukar bagiku.

Sedang saiz telapak tangan sahaja sudah berbeza, apatah lagi saiz kasut.

Langit yang mendung, nikmatnya pada  redup biru yang ada masa-masanya sahaja yang muncul. Indahnya pada kerehatan sang mentari setelah seharian memancar bakti.

Hari yang kelam mahupun sinar, kedua-duanya Tuhan letakkan makna.

Justeru hidupku yang singkat ini, apa inginku biarkan berlalu tanpa makna?

Aku nampak dengan duduk-duduk ditasik itu boleh membuatkan hidupku bermakna.

Bermakna, jika aku tahu mentadabbur pada hening permukaan airnya, pada ligat renangan ikannya, dan pada hijau pepohonan kelilingnya.

Tapi kawan, aku tidak nampak bagaimana kerikil-kerikil itu dapat membuatkan duduk-duduk ditasik itu menjadi lebih bermakna. Lantas apa perlunya kerikil itu untukku?

Aku faham kecamuk hatimu; pada penolakanku akan pemberianmu itu.

Dan andai saja kau juga faham kecamuk hatiku; antara meletakkan makna pada setiap gerak hidupku, atau memeluk erat hatimu demi sebuah hubungan.

Maafkan aku, kawan.



Wahai Tuhan Yang Maha Memudahkan, permudahkanlah urusan dia, dan permudahkanlah urusanku. Jauhkanlah kami dari daerah sengketa. 

:(

No comments:

Post a Comment

Thinking of the title is always the hardest thing to do

I watched a sharing by Ustaz Omar Suleiman on youtube yesterday. Gotta admit I kinda amazed by his sharing. Not just because of his content,...